BANCIAN DAN PENGHANTARAN NOTIS TUNGGAKAN PROGRAM PERUMAHAN RAKYAT (PPR) DAN RANCANGAN PERUMAHAN AWAM (RPA)
Pada 21-22 Jun 2024, Pasukan Task Force Tunggakan LPHP telah mengadakan bancian dan sesi konsultasi bersemuka dengan penyewa dan penyewa beli di PPR Taman Desa Cempaka Pengkalan Hulu, Rancangan Perumahan Awam (RPA) Lasah, RPA Gerik III, RPA Klian Intan II, dan SPKA Jong, Gerik.
Bancian dilaksanakan bagi mengenalpasti penyewa berdaftar menduduki rumah sewa tersebut dan tidak menyewakan kepada penama lain dan pada masa yang sama konsultasi diberikan kepada penyewa yang mempunyai tunggakan sewa agar membayar sewa mengikut masa yang ditetapkan. Bancian berkala ini dilaksanakan agar golongan sasar yang telah diberikan kemudahan sewa serendah RM100 sebulan ini tidak menyalahgunakan peluang yang diberikan dengan membuat sewaan kepada penama lain. LPHP juga mengenalpasti terdapat penyewa yang membina parkir berbumbung di atas lot parkir gunasama. Perbuatan ‘cop parking’ ini seharusnya tidak berlaku di kawasan PPR dan amaran awal telah diberikan kepada penyewa-penyewa tersebut.
Pasukan ini juga telah bergerak ke beberapa RPA di sekitar Daerah Hulu Perak bagi konsultasi tunggakan sewa beli yang ada diantaranya berjumlah hampir RM40,000 bagi sebuah rumah dimana mengikut kiraan tunggakan tersebut telah berlaku lebih dari 20 tahun. Di dalam sesi ini, penyewa beli dimaklumkan berkenaan kaedah bayaran yang boleh dibuat dan risiko penarikan balik kemudahan sewabeli sekiranya tindakan selanjutnya diambil. Kerajaan Negeri Perak melalui LPHP sentiasa bersedia untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah walaubagaimanapun penama-penama yang telah ditawarkan skim RPA tersebut haruslah memberi kerjasama dan bertanggungjawab untuk membayar sewa dan sewa beli bulanan.
- Hits: 1537