BENGKEL PENGURUSAN UNIT STRATA
PANGKOR, 14 Januari 2025 – LPHP telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Unit Strata dari 12 hingga 14 Januari 2025 bertempat di Pangkor Village Beach Resort.
Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kakitangan LPHP dan penyewa beli mengenai pengurusan unit strata dan peranan serta fungsi Badan Pengurusan Bersama (JMB) di perumahan-perumahan sewa beli yang diselia LPHP. Pengurusan unit strata yang baik adalah satu elemen yang perlu diberi perhatian dalam konteks pembangunan hartanah masa kini dimana semakin banyak perumahan bertingkat dibina dalam memenuhi permintaan perumahan di Negeri Perak khususnya.
Sepanjang bengkel, para peserta berpeluang mendalami aspek-aspek utama seperti pentadbiran, penyelenggaraan, dan pematuhan perundangan berkaitan unit strata. Aktiviti interaktif dan sesi perkongsian pengalaman turut diadakan bagi memastikan peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh dalam situasi sebenar.
Bengkel ini turut disertai oleh Tuan Mohamed Akmal bin Dahalan, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Puan Zaiteena binti Wan Nasir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, kakitangan LPHP dan hampir 60 penyewa beli Penempatan Semula Nelayan (PSN) Teluk Bharu, Pulau Pangkor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, YB Sandrea Ng Shy Ching hadir merasmikan majlis penutup bengkel tersebut dan dalam ucapan beliau, beliau berharap program ini dapat memperkasakan peserta dalam menguruskan unit strata secara profesional, selaras dengan matlamat memperkukuh pengurusan perumahan di Negeri Perak.
Terima kasih juga diucapkan kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Pemilik Strata Malaysia yang berkongsi pengalaman dan tatacara pengurusan unit strata serta badan pengurusan bersama sepanjang bengkel ini.
- Hits: 21